Tan Sri Annuar Musa Kongsi Pengalaman Dunia Politik Dan Pendidikan

on . Posted in Komuniti

Oleh: Nordiana Shafiee

Gambar oleh: Abdul Halim Husain

Tan Sri Annuar Musa Kongsi Pengalaman Dunia Politik Dan Pendidikan

SINTOK - Berkecimpung selama 30 tahun dalam dunia politik, Tan Sri Dato' Seri Panglima Annuar Musa telah berkongsi pengalaman beliau bersama pelajar dan warga UUM pada Dialog Bersama Tan Sri Annuar Musa anjuran bersama IPDM dan MAPAN di Auditorium SoIS.

 

Dalam program tersebut, beliau bukan sahaja menceritakan pembabitan awal dalam dunia politik sehingga kini, malah turut menyentuh soal pendidikan. 

 

Tan Sri Annuar berkata, pendidikan merupakan enjin penggerak utama bagi membina bangsa dan negara.

 

Ujarnya, anak bangsa harus diberikan peluang untuk mengubah diri menerusi alat penting yang disediakan kerajaan iaitu mendapat pendidikan terbaik. 

 

"Dahulu, mewujudkan universiti adalah satu perkara yang terasing sehingga mewujudkan keresahan terutama dalam kalangan Melayu kerana bimbang menimbulkan pelbagai impak. 

 

"Bagaimanapun, kini sudah banyak berbeza dengan percambahan universiti awam dan swasta di seluruh negara dan komuniti tersebut menjadi semakin besar," katanya yang juga merupakan Pengerusi MARA.

 

Tambahnya, setiap tahun, MARA memperuntukkan lebih RM3 bilion daripada RM5.2 bilion peruntukan yang diterima bagi tujuan pendidikan sahaja. 

 

Malah, menurutnya lagi, wakil pelajar juga amat dekat dengan pemimpin masyarakat termasuk pemimpin negara sehingga sering kali mengadakan perjumpaan, selain kampus kerap dikunjungi pemimpin atas pelbagai program dianjurkan.

 

Sepanjang program itu juga, beliau berkongsi pengalaman beliau dalam bidang politik dan tanggungjawab sepanjang menerajui MARA.

 

Sementara itu, Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) Prof Dr Noor Azizi Ismail berkata, sesi dialog itu menjadi platform penting yang akan menjadi aspirasi kepada bakal pemimpin negara pada masa hadapan.

 

Ujarnya, program seperti itu diharap dapat diteruskan lagi yang melibatkan pelajar dan pemimpin supaya dapat berkongsi pengalaman dan bertukar pandangan. 

 

Turut diadakan sesi soal jawab antara pelajar bersama Yang Berhormat Tan Sri yang berkisarkan kepada parti politik dan golongan muda serta isu semasa negara.

 

Hadir sama, Ahli Parlimen Pendang, Dato' Wira Othman Abdul; ADUN Bukit Kayu Hitam, Dato' Ahmad Zaini Japar; Penolong Naib Canselor UUM COLGIS, Prof Madya Dr Ahmad Bashawir Abdul Ghani dan pegawai-pegawai kanan UUM.

 

Tags: terkini