Naib Canselor Kongsi Pengalaman Kepemimpinan Dalam Organisasi Bersama MPM

on . Posted in Komuniti

Oleh: Nordiana Shafiee
Gambar oleh: Shamsaimi Ezil

Naib Canselor Kongsi Pengalaman Kepemimpinan Dalam Organisasi Bersama MPM

SINTOK - Majlis Peperiksaan Malaysia (MPM) telah mengadakan Bengkel Penambahbaikan Pelan Strategik dan Scenario Planning (Merisik Masa Hadapan) di EDC Hotels & Resorts.

Naib Canselor, Prof Dato' Seri Mohamed Mustafa Ishak selaku Pengerusi MPM turut diundang untuk berkongsi pengalaman dan ilmu beliau sepanjang menerajui organisasi menerusi tajuk 'Leadership and Change In Organization' pada bengkel tersebut.

Naib Canselor berkata, sebagai pemimpin perlu memberi manfaat kepada orang lain menerusi sifat kepimpinan yang ada.

Katanya, ilmu yang dimiliki juga harus dikongsikan dengan orang lain supaya masing-masing mendapat manfaatnya.

"Orang yang paling baik atau mulia di sisi Tuhan adalah orang yang memberikan manfaat kepada orang lain menerusi ilmu yang dimiliki menerusi kepimpinan sebagai pemimpin.

"Dengan perkongsian serba sedikit pengetahuan dan pengalaman ini, diharap dapat memberi manfaat kepada semua peserta yang hadir ke bengkel ini untuk diterapkan dalam organisasi atau MPM sendiri," ujarnya.

Pada masa sama, Naib Canselor turut menyarankan supaya semua pegawai di setiap peringkat menjalani latihan secara berterusan mengikut keadaan semasa.

Tambahnya lagi, bengkel itu penting untuk melihat keadaan semasa dalam organisasi, isu, cabaran dan hala tuju pada masa hadapan.

Menurutnya, bengkel dan seminar seumpama ini seharusnya diadakan dengan lebih kerap supaya permasalahan dalam organisasi dapat dikenal pasti dan diatasi sebaik mungkin.

Seramai 28 peserta terdiri pegawai-pegawai kanan MPM telah mengikuti bengkel tersebut yang diadakan selama tiga hari mulai 21 Disember dan julung kali diadakan hasil cetusan idea Naib Canselor sendiri.

Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif MPM, Haji Mohd Fauzi Dato' Mohd Kassim; Pengarah IPQ, Prof Dr Haim Hilman Abdullah dan pegawai-pegawai kanan UUM.

 

Tags: terkini