Sutranita Hulur Bantuan Kelengkapan Sekolah

on . Posted in Komuniti

Oleh: Siti Fatimah Abdullah
Gambar oleh: Muhammad Shamsul Shafie

Sutranita Hulur Bantuan Kelengkapan Sekolah

SINTOK - Menyedari masih ada yang memerlukan bantuan, Persatuan Wanita UUM (Sutranita) mengambil inisiatif menghulur bantuan kelengkapan sekolah kepada anak-anak yang yang memerlukan menjelang sesi persekolahan yang akan bermula tidak lama lagi.

Sumbangan diserahkan kepada kira-kira 31 Anak-Anak Yatim dan miskin yang berada  sekitar  Changlun, Titi Kerbau, Kampung Darat, Bendang Cherok, Kampung Tradisi dan Kampung Belukar sempena program Back To School.

 

Yang Dipertua Sutranita, Datin Seri Norhayati Nazri berkata, masih ada golongan yang memerlukan bantuan dan Sutranita sedang berusaha meluaskan jumlah sumbangan dengan melaksanakan Dana Darul Mawaddah.

 

Menerusi Dana Darul Mawaddah, Sutranita mengalu-alukan staf UUM menyumbang untuk anak-anak yatim dan miskin termasuk bagi menampung yuran persekolahan dan pengajian semasa, pembelian pakaian dan peralatan persekolahan, membiayai program motivasi, kem cuti sekolah, sumbangan Ramadhan dan majlis berbuka puasa.

 

“Tabung ini bertujuan mengumpul dana bagi membantu golongan ini, dengan perbelanjaan harian yang semakin meningkat maka tabung ini diharapkan dapat meringankan beban keluarga tersebut.

 

“Alhamdulillah kita telah memulakan projek tersebut pada hari ini dan diharapkan pada masa akan datang bantuan yang dihulurkan dapat meliputi golongan yang lebih besar,” ucapnya di Dewan Budi Siswa, Pusat Budaya dan Seni, baru-baru ini.

 

Beliau yang juga Isteri kepada Naib Canselor Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof. Dato’ Dr. Mohamed Mustafa Ishak berkata, sumbangan tersebut sebagai galakan kepada pelajar agar mereka lebih bersemangat untuk belajar dan mempertingkatkan prestasi akademik mereka. 

 

“Inisiatif ini secara tidak langsung dapat membantu merangsang pelajar untuk mencapai kecemerlangan selain meringankan beban keluarga dan memberi kegembiraan kepada anak-anak  memulakan hari persekolahan mereka seperti orang lain,” luahnya.

 

Jelasnya, seperti kanak-kanak lain, mereka akan lebih teruja untuk ke sekolah kerana sudah ada baju, kasut dan beg sekolah baru serta alat tulis sekali gus memberi semangat baru untuk terus belajar menimba ilmu.

 

“Belajarlah bersungguh-sungguh, rajin ke sekolah, tekun ketika guru mengajar, hormati guru dan ibu bapa, jaga solat dan baca Al-Quran insya-Allah anak-anak akan lebih mudah mencapai kejayaan.

 

“Bagi ibu bapa dan waris bimbinglah mereka supaya berjaya dalam pelajaran dan yakinkan anak-anak bahawa hanya dengan cara itu hidup akan menjadi lebih baik.

 

“Tidak akan berubah nasib kita kalau kita sendiri tidak berusaha ke arah itu, malah doa seorang ibu sangat mustajab maka jangan putus berdoa kepada Allah agar anak kita sentiada berjaya di dunia dan akhirat.

 

“Marilah sama-sama terus berusaha membina kehidupan yang lebih baik pada masa akan datang dan menjadi golongan yang sentiasa bersyukur dengan Rahmat Allah  dan sedar bahawa nasib kita akan berubah dengan pendidikan,” luahnya.

 

Hadir sama menyerikan majlis, Ustaz Dr. Mohd. Nizho Abdul Rahman dari Pusat Pengajian Bahasa, Tamadun dan Falsafah, Bendahari Kehormat, Setiausaha Kehormat dan AJK Biro Kerohanian serta AJK Lain.

 

Tags: terkini