KGRUUM Perlu Lebih Aktif Untuk Jana Kewangan Kelab

on . Posted in Komuniti

Berita dan gambar oleh: KGRUUM

KGRUUM Perlu Lebih Aktif Untuk Jana Kewangan Kelab

PERAK - Kelab Golf dan Rekreasi (KGR) UUM disarankan untuk lebih bergiat aktif dalam menjana kewangan kelab tersebut.

Naib Canselor, Prof  Dato' Seri Dr Mohamed Mustafa Ishak yang juga Presiden KGRUUM berkata, kelab perlu melipatgandakan usaha bagi tujuan itu seperti menarik penyertaan terutamanya dalam kalangan staf wanita untuk menjadi ahli kelab itu.
 
Katanya, dengan keahlian yang ramai itu nanti bukan sahaja membantu dalam aspek penjanaan pendapatan kelab, malah dapat mempromosikan gaya hidup sihat dan membina semangat jati diri yang tinggi.
 
"Kini UUM dalam usaha melengkapkan pembinaan lima lagi lubang untuk menjadikan padang golf UUM setaraf dengan padang golf lain.
 
"Selain itu, perancangan teliti juga perlu dibuat untuk memastikan KGRUUM lebih mandiri dalam soal kewangan dengan memperhebatkan usaha tersebut yang akan membantu KGRUUM untuk lebih berjaya dari segi penjanaan kewangan kelab,"  ujarnya pada Majlis Perasmian Retreat KGRUUM di Virgo Batik Resort, Lumut, baru-baru ini.
 
KGRUUM telah mengadakan retreat bagi merancang dan membentangkan aktiviti bagi tempoh sepanjang 2017 yang mana ia turut dihadiri Prof Madya Dr Hasani Mohd Dali sebagai kapten retreat berkenaan.
 
Pada program itu, beliau telah membentangkan perancangan penjadualan semua perlawanan bulanan dan juga enam kejohanan utama KGRUUM untuk tahun 2017. 
 
Selain itu, beberapa penambahbaikan dari segi polisi pengiraan handicap dan pengujian penganugerahan handicap telah dibentangkan oleh AJK KGRUUM 2016/2017. 
 
Cadangan juga telah dibuat agar KGRUUM membuat perancangan outing golf ke luar negara bagi mendedahkan ahli bermain di padang-padang antarabangsa.
 
 

Tags: terkini