Optimis Tingkatkan Kemasukan Pelajar B40

on . Posted in Komuniti

Oleh: Siti Fatimah Abdullah
Gambar oleh: Shamsaimi Ezil

Optimis Tingkatkan Kemasukan Pelajar B40

SINTOK - Dalam usaha meningkatkan kemasukan pelajar B40 ke institut pengajian tinggi, satu pertemuan diadakan antara Prof. Emeritus Tan Sri Sahol Hamid Abu Bakar dengan Naib Canselor UUM, Prof Dato’ Seri Dr. Mohamed Mustafa Ishak di Anjung Tamu. 

Tan Sri Sahol yang juga Pengerusi Yayasan Destini Anak Bangsa (YDAB) berkata, pertemuan itu membincangkan mengenai penyelarasan dan pelaksanaan program Jelajah Pendidikan 2017.

 

Jelasnya, program yang melibatkan semua universiti awam telah dilaksanakan pada 2016 untuk membantu 150,000 pelajar miskin lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang tercicir di seluruh negara.

 

“Hasil daripada program tersebut memberi peluang kedua dalam pendidikan tinggi dan kemahiran lanjutan kepada 37,324 lepasan SPM melibatkan anak-anak miskin, peneroka, yatim dan orang asli untuk belajar di 11 institusi pendidikan terpilih.

 

“Melihat pencapaian tersebut, program ini akan diteruskan pada 2017 dengan melibatkan lebih ramai rakan strategik,” ulasnya.

 

Sementara itu, Naib Canselor, Prof. Dato’ Seri Dr. Mohamed Mustafa Ishak menyambut baik program yang memberi peluang melanjutkan pengajian ke institut pengajian tinggi demi mengubah masa depan mereka.

 

Hadir sama, Pengarah Canselori, Ahmad Rasidi Abdullah, Pegawai YDAB,   Muhammad Fareez Abu Suaib Khan dan Muhammad Ridzwan Abdullah.

 

Usai perbincangan tersebut beliau turut meluangkan masa melawat sekitar Universiti Di Rimba Hijau termasuk Varsity Mall.

 

Tags: terkini