75 Pemain Golf Sertai Battle Of Champions 2016

on . Posted in Komuniti

Oleh: KGRUUM

75 Pemain Golf Sertai Battle Of Champions 2016

SINTOK - Seramai 75 pemain golf menyertai kejohanan Battle of Champions (BOC) 2016 anjuran Kelab Golf dan Rekreasi Universiti Utara Malaysia (KGRUUM) pada 20 hingga 21 Disember 2016 lalu. 

Kejohanan dua hari ini merupakan acara tahunan KGRUUM di mana acara ini menemukan semua pemenang-pemenang kejohanan pertandingan golf bulanan dan juga kejohanan golf utama anjuran KGRUUM seperti Piala Presiden, Sintok Master, dan Piala Bendahari.

 

Turut memeriahkan kejohanan kali ini adalah Naib Canselor, Prof. Dato’ Seri Dr. Mohamed Mustafa Ishak merangkap  Presiden KGRUUM serta Pendaftar, Mohamad Akhir Haji Yusuf.

 

Damai Laut Golf & Country Club di Lumut, Perak yang pernah menjadi tuan rumah kepada banyak kejohanan peringkat kebangsaan dan antarabangsa menjadi medan pertembungan antara juara-juara ini.

 

Kelab dengan susun atur padang yang amat mencabar dan persekitaran tepi laut menawarkan pengalaman yang unik kepada semua peserta.

 

Cabaran angin yang kuat di waktu petang pada hari pertama telah menyebabkan ramai peserta menghadapi kesukaran untuk mengelakkan rintangan bunker, air dan kawasan out of bound.

 

Sementara pada hari kedua, semua peserta terpaksa menghadapi cabaran susun atur yang berbeza antara 9 lubang pertama yang lebih kepada cabaran tasik dan air sementara 9 lubang kedua lebih kepada cabaran bukit dan lapangan yang sempit.

 

Di penghujung kejohanan ini, Prof. Dr. Ir. Che Sobry Abdullah telah dinobatkan sebagai juara keseluruhan dengan pukulan 3 di atas par manakala tempat kedua keseluruhan diraih oleh Prof Madya Dr. Sobri Don dengan pukulan 5 di atas par.

 

Sementara peserta terbaik hari pertama dirangkul Prof. Madya Dr. Azrool Idzwan Ismail dengan pukulan 3 di bawah par dan Zulkifli Mohd Noor dengan pukulan 5 di bawah par pada hari kedua.

 

Bagi kategori jemputan terbuka, Abu Talib Mansor dari Bank Rakyat muncul juara dengan pukulan 4 di bawah par dan Prof Madya Dr Azrool Idzwan di tempat kedua dengan pukulan 2 di bawah par.

 

Secara keseluruhan, Kapten KGRUUM, Prof Madya Dr. Mohd Hasani Dali amat berpuas hati dengan penganjuran, keadaan lapangan, penyertaan dari semua yang terlibat dalam kejohanan kali ini.

 

Tags: terkini