Kembara Ilmu Mahasiswa UUMKL Selami Keperitan Anak Yatim Di Indonesia

on . Posted in Komuniti

Oleh: Siti Fatimah Abdullah

Kembara Ilmu Mahasiswa UUMKL Selami Keperitan Anak Yatim Di Indonesia

INDONESIA - Minum air dari botol kerana tidak ada cawan, 40 orang berkongsi satu pinggan, tidur di atas lantai tanpa beralaskan bantal dan selimut, tiada katil, almari, kipas, jauh sekali dewan makan dan dewan belajar serta persekitaran yang daif.

Keadaan ini meruntun hati 40 mahasiswa Universiti Utara Malaysia Kuala Lumpur (UUMKL) yang menyelami kehidupan anak yatim Panti Asuhan Zending Islam ketika menyertai Kembara Ilmu dan Kasih Bertaut di Medan, baru-baru ini.

 

Menurut Pengarah Program, Rizaki Jaapar, 36, paling menyentuh perasaan apabila melihat rumah anak yatim yang serba kekurangan jauh berbeza dari rumah anak yatim yang terdapat di Malaysia.

 

“UUM terpanggil untuk mengadakan program di sana memandangkan Medan antara negara yang sederhana miskin dengan majoriti penduduknya beragama Islam tambahan pula panti asuhan ini pernah terbakar pada 2015 sehingga mengalami kerosakan 95 peratus yang sehingga kini masih belum dibaik pulih. 

 

“Melalui program ini memberikan pendedahan, pengalaman dan latihan kepada pelajar bagi menguruskan sesebuah aktiviti terutama di luar negara di samping   memantapkan ketahanan mental fizikal serta berfikir secara kritis sekali gus menyelami permasalahan masyarakat  serumpun,” ujarnya.

 

Jelasnya, kembara ini mendapat sokongan pelbagai pihak seperti agensi kerajaan dan NGO untuk menyalurkan bantuan kepada 80 anak yatim yang berusia 5 hingga 17 tahun.

 

“Alhamdulillah, program ini berjaya dijalankan mendapat sokongan daripada rakan-rakan walaupun terdapat pelbagai halangan pada awalnya namun tidak mematahkan semangat mahasiswa UUM dalam menjayakan kerja amal ini.

 

“Selain menyumbang bakti kami bertuah kerana mendapat kerjasama Persatuan Kebangsaan Pelajar-pelajar Malaysia di Indonesia Cawangan Medan (PKPMI-CM) dan Konsulat Jeneral Malaysia yang banyak membantu sebagai perkongsian pintar.

 

Akuinya, program ini menjadi platform kepada universiti untuk menjalankan tanggungjawab sosial dengan masyarakat selain memberi semangat kepada anak yatim untuk menempuh hidup yang masih panjang.

 

Manakala Nor Suhaila Mohamed Nasir, 38, menyifatkan program ini sebagai tanggungjawab sosial mahasiswa menyantuni golongan yang memerlukan.

 

“Siapa yang membelai kepala anak yatim kerana Allah baginya kebaikan yang banyak daripada setiap rambut yang diusap, apabila melihat wajah mereka timbul keinsafan menjadikan kita lebih bersyukur,” ulasnya.

 

“Bukan mudah menabur bakti di tempat orang, walaupun kedatangan dengan niat yang baik tetapi adat dan peraturan di rantau orang perlu dipatuhi.

 

“Persediaan awal telah dibuat, kami mengumpul dana dan barangan sumbangan orang ramai berupa wang tunai, pakaian, tudung, tuala, hadiah, beg dan peralatan sekolah untuk di bawa ke sana,” kongsinya.   

 

Dari kaca matanya, kehidupan rakyat Medan tidak terlalu daif dalam bandar yang agak maju, bagaimanapun masyarakat terlepas pandang kepada anak yatim yang amat memerlukan. 

 

“Sebaik sahaja melangkah masuk, sayu menebak tangkai hati melihat anak-anak yang berpakaian lusuh berlari riang gembira, bermain dengan gelak ketawa, anak-anak ini masih kecil untuk mengerti kesusahan yang dialami.

 

“Mereka hidup terbiar akibat kekurangan bantuan sampaikan berkongsi satu pinggan dan satu cawan, apabila merenung mata hitam mereka, kesedihan tidak dapat dibendung, berlinangan air mata menyaksikan kemiskinan luar biasa mereka.

 

“Menariknya, mereka sudah mampu berdikari walaupun masih kecil dan kecekalan hidup mereka wajar dicontohi malah anak-anak bijak ini sedar hanya pelajaran dapat mengubah masa depan.

 

Seawal jam 8, misi menghiburkan anak yatim bermula menerusi aktiviti yang dijalankan seperti pemberian hadiah, sumbangan, makan dan acara sukaneka yang mendapat sambutan meriah kerana pertama kali diadakan di tempat mereka.

 

“Keceriaan terpancar pada wajah 40 anak yatim apabila menerima hadiah sekali gus ikatan silaturahim terjalin erat mempamerkan kasih sayang, prihatin memberi mesej bahawa mereka tidak dilupakan,” ujar pelajar Sarjana Muda Pengurusan Awam.

 

Sementara itu, pelajar Sarjana Muda Pengurusan Awam, A’dawiyah Koh Poh Lee @ Che Mamat, 39, menyifatkan kembara ini memberi impak positif kerana menimba pengalaman di arena antarabangsa serta pengajaran yang bernilai.

 

“Mereka makan nasi bungkus yang dibeli oleh pihak pengurusan dan minum air kosong berkongsi botol lalu kami membelikan cawan, pinggan dan sudu untuk kegunaan mereka.

 

“Jika ingin makan malam, mereka kena masak nasi sendiri dan dapurnya tidak   dilengkapi peralatan yang mencukupi apatah lagi dengan pakaian lusuh yang tersarung di badan mereka sungguh menyedihkan,” luahnya.

 

Asrama lelaki masih dalam pembinaan kerana mengalami kebakaran, kanak-kanak ini sedang membesar dan bercampur antara lelaki perempuan justeru pihaknya berharap lebih ramai tampil menyalurkan sumbangan. 

 

“Panti Asuhan ini merupakan sekolah islamik yang memberi pendidikan sehingga melahirkan anak-anak yang berdisiplin, saya tertarik dengan Bayu yang berusia 7 tahun, mesra dan rajin bersolat di awal waktu tanpa perlu disuruh.

 

“Islam itu bersaudara walaupun berbeza budaya bangsa dan negara sambil bertanya khabar saya memeluk mereka kerana kasih sayang merupakan makanan rohani kepada jiwa anak-anak yang sudah tidak mempunyai ibu bapa,” ungkapnya. 

 

Tags: terkini