125 Peserta Ikuti Kursus Ejen Kastam

on . Posted in Komuniti

Oleh: Mohd Amir Aizat Sainon

Gambar oleh: Abdul Halim Husain

125 Peserta Ikuti Kursus Ejen Kastam

 

SINTOK - Seramai 125 peserta mengikuti Kursus Ejen Kastam (Eksekutif) Siri/1 2017 anjuran Inapan Siswa (Inasis) Malaysian Airlines (MAS) dengan kerjasama Institut Pembangunan Keusahawanan dan Koperasi (CEDI) Universiti Utara Malaysia (UUM) dan Jabatan Kastam DiRaja Malaysia.

 

Kursus ini diadakan bagi mendedahkan peserta kepada peraturan dan prosedur berkaitan perkastaman bagi memastikan peserta dapat mengambil Peperiksan Sijil Ejen Kastam selain sebagai memenuhi syarat-syarat untuk menjadi ejen kastam.

 

Di samping itu, kursus ini juga adalah bagi melengkapkan peserta khususnya mahasiswa dengan kemahiran tambahan yang memudahkan mereka memperoleh pekerjaaan selepas graduasi.

 

Perasmian kursus ini disempurnakan oleh Pengarah Jabatan Hal Ehwal Pelajar, Dr. Mohd Dino Khairri Shariffuddin di Dewan Seminar B, Kompleks Konvesnyen.

 

Beliau dalam ucapannya berkata program ini adalah bagi melengkapkan pelajar dengan ilmu pengetahuan dan kemahiran tambahan yang boleh membantu pelajar memperoleh pekerjaan sesegera mungkin selepas bergraduasi.

 

"Hasrat kita di UUM adalah mahukan pelajar mendapat pekerjaan enam bulan selepas bergraduasi. UUM menyediakan pelbagai program sebegini yang mana pelajar boleh mendapat maklumat mengenainya di CEDI dan Pusat Pembangunan Kerjaya.

 

"Program yang dianjurkan ini juga disubsidi di mana pelajar hanya perlu membayar RM 500 untuk mengikuti kursus ini di UUM berbanding kos  di luar RM 1855," ujarnya.

 

Sementara itu Pengarah CEDI, Dr. Mohd Najib Mansor berkata Sijil Ejen Kastam ini sangat berharga kepada pelajar terutama apabila melangkah ke alam pekerjaan.

 

"Kita dapati syarikat di luar sana yang berurusan dengan kastam perlu memiliki sijil ini. Justeru apabila pekerja sendiri telah dilengkapi sijil ini, syarikat akan berbesar hati kerana mereka tidak lagi perlu mengeluarkan kos yang tinggi untuk melengkapkan pekerja mereka dengan sijil berkenaan," jelasnya.

 

Tambahnya kursus itu dikendalikan tenaga pengajar daripada pihak kastam sendiri selain beberapa subjek akan diajar oleh tenaga pengajar dari UUM.

 

Selain mahasiswa UUM, peserta terdiri daripada golongan profesional dan pelajar-pelajar Institusi Pendidikan Tinggi Awam yang lain.

 

Kursus ini mengandungi 22 modul meliputi 75 jam masa berkursus dan berlangsung selama 9 hari mulai 10 hingga 20 Januari, manakala  peperiksaan bagi mendapatkan sijil itu akan diadakan pada 21 Januari 2017.

 

Hadir sama Penyelaras Kursus, Fadzil Mohd Husin; Pengetua Inasis MAS, Dr. Mohd Azril Ismail dan pegawai-pegawai UUM.

 

Tags: terkini