Dekan Baharu SMMTC Terima Watikah Pelantikan

on . Posted in Komuniti

Oleh: Nordiana Shafiee

Gambar oleh: Muhammad Shamsul Shafie

Dekan Baharu SMMTC Terima Watikah Pelantikan

 

SINTOK - Naib Canselor, Prof Dato' Seri Dr Mohamed Mustafa Ishak telah menyampaikan watikah pelantikan sebagai Dekan Pusat Pengajian Teknologi Multimedia & Komunikasi (SMMTC) yang baharu kepada Prof Madya Dr Ariffin Abdul Mutalib di Balai Tamu.

 

Pelantikan tersebut mula berkuat kuasa pada 8 Januari lalu dan penyerahan tersebut turut disaksikan Pendaftar, Mohamad Akhir Yusuf; Penolong Naib Canselor UUM CAS, Prof Madya Dr Huda Ibrahim dan pegawai-pegawai kanan UUM.

 

Naib Canselor dalam ucapan beliau berkata, tugas dan tanggungjawab sebagai Dekan adalah berat dan besar kerana bertanggungjawab kepada pusat pengajian, staf dan juga universiti.

 

Menurutnya, setiap keputusan yang dilakukan harus mengambil kira kepentingan universiti dan pusat pengajian.

 

"Paling penting, sentiasa konsisten dalam membuat keputusan dan tidak terlalu banyak berubah sehingga membuatkan orang lain keliru, seterusnya dianggap sebagai seorang yang tidak mempunyai pendirian tetap dalam membuat keputusan.

 

“Dalam menerajui pusat pengajian yang paling penting ialah memastikan hala tuju adalah jelas dan difahami,” katanya.

 

Tambah Naib Canselor lagi, seorang Dekan juga harus membawa semua anggotanya dalam satu landasan dan perlu amalkan prinsip musyawarah dalam membuat keputusan terbaik.

 

"SMMTC bukan pusat pengajian yang baharu dan ia dilihat mempunyai banyak potensi untuk dikembangkan termasuk subjek, ranking dan program pasca siswazah yang ada, selain menjadi program akademik terbaik, SMMTC perlu ada rancangan untuk mempromosikan program yang ditawarkan bagi menarik pelajar.

 

"Pada masa sama, penambahbaikan termasuk semakan semula kurikulum terutama dalam bidang teknologi maklumat (IT) perlu dibuat kerana zaman IT sentiasa berubah dan pelajar kini tidak boleh diajar menggunakan teknologi yang sudah ketinggalan," katanya.

 

Di akhir ucapan itu, Naib Canselor berharap Prof Madya Dr Ariffin dapat bekerjasama dengan semua kakitangan terlibat termasuk Penolong Naib Canselor dan bekerja secara berpasukan untuk berjaya bagi memastikan pasukan bagus dan terus dihormati.

 

Tags: terkini