Kasih Sayang Fitrah Seorang Pendidik

on . Posted in Komuniti

Oleh: Siti Fatimah Abdullah

Gambar oleh: Seksyen Fotografi

Kasih Sayang Fitrah Seorang Pendidik

 

Ikutilah pesan Rasulullah

Didiklah manusia dengan berhikmah

Abadikan hidup berbakti kepada Allah

Tuhan Yang Maha Pemurah

 

“Didiklah dengan berhikmah, bekalkanlah dengan keimanan, siramilah dengan kasih sayang, semaikan ilmu pengetahuan, jalinkan kemesraan, pandanglah dengan senyuman, bersabarlah atas ujian, hadapilah dengan tenang.

 

“Kurniaan anugerah bukan untuk kemegahan, namun bukti kesungguhan dalam mendidik diri menjadi khalifah yang berjiwa ubudiyyah di samping menyampaikan mesej bahawa Rasulullah mendidik dengan inspirasi berpandukan al-Quran dan Sunah dalam membentuk manusia berpotensi sempurna.” 

 

Demikian kata penerima Anugerah Pendidik Cemerlang, Dr. Mardzelah Makhsin   yang membawa pulang RM2,000, geran RM5,000 beserta sijil sempena Hari Inovasi & Majlis Penganugerahan Universiti (Himpu 2017) di Dewan Mua’dzam Shah.

 

Ujarnya, kasih sayang kunci dalam fitrah seorang pendidik di mana sifat al-Rahman dan al-Rahim telah Allah kirimkan buat murabbi, muaddib, mursyid, muddaris danmualim dalam meneruskan agenda perjuangan Rasulullah s.a.w dalam mendidik manusia mengenali Tuhan.  

 

Dalam jiwa para pendidik telah ditanamkan dengan sifat kasih sayang agar anak-anak dipelihara dengan sebaiknya di bawah pengawasan Allah justeru, kasih sayang seharusnya menjadi keutamaan dalam membina personaliti pelajar.

 

Dalam kerjaya katanya, manusia dikaburi dengan budaya persaingan yang disalah tafsir mendorong kepada sifat individualistik dan materialistik namun sifat kasih sayang mampu membina kekuatan dalam teamwork bagi mencapai kejayaan.

 

“Hidup perlu selesaikan masalah, jangan lari daripada masalah, sentiasa muhasabah diri, beriktikaf di masjid memohon hidayah dalam mencari jalan penyelesaian, berbicara bersama insan tersayang serta pelajar dengan cerita lucu yang  mengundang gelak ketawa kerana ketawa penawar kepada kesedihan.

 

“Pandang masalah orang lain lebih berat daripada masalah sendiri, fikirkan nikmat yang diperolehi dan yakin bahawa setiap kesulitan ada kemudahan dan hikmah yang tersembunyi.

 

“Berfikir dan bertindak positif ketika menghadapi cabaran khususnya dalam melaksanakan tugas sebagai hamba Allah, anak kepada ibu bapa, sebagai isteri kepada suami, sebagai ibu kepada anak-anak, sebagai pekerja kepada majikan dan sebagai warga kepada negara,” katanya dari Pusat Pengajian Pendidikan dan Bahasa Moden.

 

Kongsinya lagi, UUM mengukir memori indah, di sini bermulanya pertemuan dengan insan yang menjadi teman hidup, tempat mencari rezeki, kehijauan yang mendamaikan, membina ukhuwah bersama warga universiti dan peluang   mengembangkan kerjaya serta memartabatkan diri sebagai pendidik.

 

Setiap pemimpin mengalas tanggungjawab, memiliki sifat kasih sayang dan suka membantu tanpa mengharapkan sesuatu ganjaran, prihatin dan sedia berkhidmat dengan mengangkat Rasulullah sebagai role model.

 

“Baginda yang memiliki perwatakan pemimpin unggul dengan cinta kepada Allah begitu juga kita, bekerja bersunguh-sungguh dan sentiasa mengingati mati sebagai motivasi untuk memperoleh rezeki yang diberkati,” pesannya.

 

Sementara itu, penerima Insentif Akademik Kecemerlangan Akademik, Dr. Mohd Zuwairi Mat Saad menyifatkan anugerah ini sebagai titik permulaan dan pembakar semangat untuk meneruskan perjuangan.  

 

“Jangan putus asa, kegagalan bukan sebagai tanda untuk kita berhenti  melakukan sesuatu tetapi permulaan untuk terus berjuang, bangkit menggapai kejayaan, komitmen, doa dan tawakal.

 

“Pengurusan masa amat penting terutamanya semasa tempoh pengajian PhD yang memberi kesan secara lahiriah dan batiniah malah apa yang diamalkan sepanjang pengajian turut memberi kesan dalam skop kerja selepas tamat cuti belajar,” ujarnya dari Pusat Pengajian Teknologi Multimedia Dan Komunikasi, UUM CAS. 

 

Akuinya, banyak cabaran yang dilalui dalam melakukan tugas tetapi beliau menerima secara positif dan memaniskan setiap perkara pahit yang dilalui supaya apa yang dilakukan berjalan lancar.  

 

“Kepada yang masih meneruskan pengajian, teruskan usaha ingatlah bahawa apa yang ditempuhi sekarang ini adalah amanah yang dipertanggungjawabkan jadi berusaha tanpa berputus asa.

 

“Sentiasa berbuat baik kerana segala kebaikan akan diganjari-Nya yang paling penting, berdoa dan minta ibu bapa, rakan-rakan mendoakan kita kerana doa merupakan senjata paling berkesan,” luahnya. 

Bagi Pembantu Hal Ehwal Islam, Dakina Zakaria pula melahirkan rasa syukur dan tidak menyangka mendapat Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC).

 

“Alhamdulillah perasaan bercampur baur, terkejut, terharu dengan rezeki yang tidak dijangka, terima kasih semua yang menghargai.  

 

“Pada saya mudah, bekerja dari hati, anggap kerja sebagai ibadah yang menuntut kita ikhlas mencari keredhaan-Nya, sentiasa permudahkan urusan pelanggan yang datang agar Allah jentik rasa seronok bekerja,” ujarnya yang menyifatkan UUM sebagai gedung ilmu

 

Ulasnya, selain menguruskan tugas dan mendekati masyarakat, Dakina turut berpeluang mendalami ilmu pengetahuan ke arah menjadi mukmin sejati.

 

Manakala Dekan Pembangunan Pelajar dan Alumni UUM COB, Dr. Hendrik Lamsali yang berpengalaman menguruskan proses penubuhan Beta Gamma Sigma Chapter UUM teruja menerima Anugerah Penjawat Cemerlang yang amat bermakna.

 

“Kenali ‘siapa tanggungjawab’ kita, sekiranya pelajar, utamakan mereka terlebih dahulu, buat yang terbaik dan bekerjasama dengan semua pihak demi kepentingan pelajar.

 

“Cabaran dalam melakukan tugas ialah terlalu banyak yang ingin dicapai dan dilaksanakan serta cabaran dari segi territorial decisions making apapun sebagai pemimpin perlu ada proper planningvisionpassion, empathy, tenang dan sabar dalam mendepani cabaran,” ulasnya.

 

Tags: terkini