Kerjasama UUM Dan Institusi Kehakiman Tingkat Kualiti Pendidikan Undang-Undang

on . Posted in Komuniti

Oleh: Mohd Amir Aizat Sainon

Gambar oleh: Shamsaimi Ezil

Kerjasama UUM Dan Institusi Kehakiman Tingkat Kualiti Pendidikan Undang-Undang

SINTOK - Kerjasama yang dijalinkan Universiti Utara Malaysia (UUM) menerusi Pusat Pengajian Undang-undang (SoL) dengan Pejabat Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan Malaysia (PKPMP) dilihat sebagai permulaan yang baik ke arah meningkatkan kualiti pendidikan undang-undang di Malaysia.

 

Ketua Hakim Negara, YAA Tan Sri Dato' Seri Md Raus Sharif berkata kerjasama strategik antara UUM dan PKPMP menerusi pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) bakal memberi impak positif dalam melahirkan graduan yang menepati kehendak pasaran kerja (employability), sama ada yang memilih untuk menjadi pengamal undang-undang (practising lawyers), pensyarah mahupun berkhidmat dengan kerajaan.

 

"MoU ini juga akan mengeratkan hubungan di antara ahli akademik dengan hakim-hakim dan pegawai-pegawai kehakiman," ujar beliau ketika berucap pada Majlis Menandatangani MoU antara UUM dan PKPMP di EDC Hotels and Resorts.

 

Selain itu menurut beliau lagi kerjasama tersebut memberi kebaikan kepada pegawai-pegawai Mahkamah untuk menyambung pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi bagi memastikan pembelajaran berterusan (continuing legal education).

 

"Kerjasama ini juga akan menguntungkan para pensyarah dan pelajar undang-undang yang ingin mendapatkan tunjuk ajar secara terus (one to one) daripada hakim-hakim dan pegawai kehakiman." 

 

"Badan Kehakiman Malaysia telah memperkenalkan program judicial clerkship sejak dua tahun lalu di mana menerusi program ini, graduan daripada universiti dalam dan luar negara terpilih untuk menjalani program judicial clerkship di Istana Kehakiman selama tiga bulan.

 

“Di samping itu Badan Kehakiman Malaysia juga telah menerima pelajar-pelajar jurusan undang-undang bagi menjalani program sangkutan dan internship di Mahkamah yang memberi peluang pelajar mempelajari aspek praktikal terutamanya prosedur Mahkamah," ujarnya.

 

MoU itu ditandatangani oleh Naib Canselor, YBhg. Prof. Dato’ Seri Dr. Mohamed Mustafa Ishak mewakili UUM sementara PKPMP diwakili oleh YBhg. Dato’ Sri Latifah Haji Mohd Tahar, Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan Malaysia dan disaksikan oleh YAA Tan Sri Dato’ Seri Md Raus Sharif.

 

Sementara itu Naib Canselor berkata kerjasama tersebut akan mengukuhkan ikatan akademik dan kehakiman yang melibatkan warga institusi kehakiman dan UUM. 

 

"Kelebihan dan faedah yang boleh dinikmati oleh warga kehakiman bagi tujuan MoU ini ialah Pembelajaran Sepanjang Hayat (PSH) selaras dengan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (Pendidikan Tinggi) 2015-2025 melalui Lonjakan Ke-3, iaitu Menghayati Pembelajaran Sepanjang Hayat. 

 

"Dengan wujudnya kerjasama ini institusi kehakiman bakal mendapat staf yang lebih berilmu dan berkemahiran di samping mempunyai nilai-nilai dan pemikiran yang bersesuaian dengan keperluan institusi kehakiman. 

 

"Institusi kehakiman juga bakal mempunyai akses kepada mahasiswa dan graduan undang-undang berkelayakan yang telah disediakan oleh UUM," jelasnya.

 

Pemeteraian MoU ini membolehkan UUM dan PKPMP menjalinkan kerjasama dalam bidang pendidikan yang melibatkan perkhidmatan kehakiman dan perundangan, latihan berterusan dan pembelajaran dalam meningkatkan profesionalisme, kolaborasi dalam penyelidikan dan peranan advokasi, tertakluk kepada undang-undang berkuat kuasa di Malaysia.

 

Pada majlis itu juga turut diadakan sesi Bicara Minda yang memberi peluang pelajar-pelajar SoL berinteraksi dengan YAA Ketua Hakim Negara mengenai isu-isu berkaitan kehakiman. Sesi ini dikendalikan oleh Dekan SoL, Dr Zainal Amin Ayub.

 

Turut hadir Yang Arif Dato' Hashim Hamzah, Hakim Utama Mahkamah Tinggi Alor Setar; YA Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Tinggi Alor Setar dan Perlis; Timbalan Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan Malaysia, Datuk Haji Aslam Zainuddin, pegawai-pegawai kanan PKPMP dan pegawai-pegawai kanan UUM.

 

Tags: terkini