CEDI Sedia Membantu Usahawan Siswazah

on . Posted in Komuniti

Oleh : CEDI

CEDI SEDIA MEMBANTU USAHAWAN SISWAZAH

SINTOK - Pelbagai usaha telah dilakukan oleh pihak CEDI dalam membantu pelajar terutamanya yang berminat dalam keusahawanan dan ingin menjalankan perniagaan di dalam kampus.

Antara usaha yang dirancang oleh CEDI adalah seperti meningkatkan penglibatan pelajar secara aktif dalam program pembelajaran dan pengajaran keusahawanan, meningkatkan penglibatan industri dalam proses perundingan, penyelidikan dan latihan, mengukuh dan meluaskan sistem sokongan untuk perniagaan pelajar, memperkasakan pembangunan program-program keusahawanan sosial berasaskan perniagaan yang memanfaatkan pelajar, industri dan masyarakat.

Bagi menyokong usaha ini, CEDI merasakan perlu lebih menonjol dan aktif agar lebih dikenali terutamanya dalam kalangan pelajar UUM. 

Pada 16 Mei 2017 yang lalu, CEDI telah mengadakan program sehari iaitu “Sembang Santai Bersama CEDI” bertempat di Dewan Kuliah Gugusan 1 (DKG1/1).

Program ini telah berjaya menarik minat lebih kurang 300 pelajar dalam pelbagai bidang pengajian. Rata-rata pelajar yang hadir telah mempunyai perniagaan dan yang berminat untuk menjadi usahawan.

Pada program tersebut, beberapa agensi yang berperanan dalam pembangunan keusahawanan turut dijemput. 

Pengarah Eksekutif CEDI, Dr. Mohd. Najib Mansor berkata pihak CEDI sedia membantu dan melatih pelajar yang telah mempunyai perniagaan dan ingin memulakan perniagaan serta berharap agar pelajar mengambil peluang untuk mengikuti latihan yang ditawarkan oleh pihak CEDI.

Majlis yang berkonsepkan forum ini juga turut dihadiri oleh pihak SME Corp. Kedah, Unit Pembangunan Usahawan Kedah (UPUK) dan Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC). 

Para pelajar telah didedahkan berkaitan peranan mereka dalam aktiviti pembangunan usahawan serta bantuan dana yang boleh dipohon untuk memulakan perniagaan atau menambah modal perniagaan.

Selain itu, pihak MDEC turut mendedahkan bahawa perniagaan secara online juga boleh memberi pendapatan yang lumayan sekiranya perniagaan ini dilakukan dengan betul. 

Sementara itu, Dr. Jauriyah Shamsudin, Timbalan Pengarah, Bahagian Latihan dan Perundingan CEDI selaku moderator begitu yakin dengan latihan yang diberikan oleh pihak CEDI dan juga bantuan dari agensi kerajaan dan swasta, impian pelajar untuk menjalankan perniagaan samada di dalam kampus ataupun setelah tamat belajar akan tercapai.

 

Tags: terkini