Sejuta Barakah Di Hujung Jari - Air Tangan Tambat Hati Suami, Anak-Anak

on . Posted in Komuniti

Oleh: Siti Fatimah Abdullah

Sejuta Barakah Di Hujung Jari - Air Tangan Tambat Hati Suami Anak-Anak

SINTOK -Jangan gadai terawih dengan mengambil upah menjahit, buat kuih raya, kalau nak buat juga, lepas terawih kerana terawih bukan ada nilai gadaian malah kita bukan setakat terawih masak pun kita gadai sedangkan Ramadan sejuta barakah di hujung jari, air tangan kita untuk menambat hati suami dan anak-anak.

 

“Jangan biarkan permata berlalu di depan kita kerana Ramadan setiap jam, setiap minit adalah gandaan pahala cukup istimewa, berbeza dengan bulan lain jadi rancang dari sekarang kerana Ramadan bukan bulan biasa.”

 

Ucap Ustazah Che Nazrah Yusof dalam Ceramah Fiqh Wanita yang diadakan sempena menyambut ketibaan bulan Ramadan, di Dewan Seminar Pusat Islam, UUM.

 

Jelasnya, ramai orang berpuasa tetapi tidak mendapat apa-apa kecuali lapar dahaga sedangkan penyempurnaan puasa untuk mendapat takwa iaitu la’allakum tattaqun

 

“Keluar Ramadan masih tak rasa apa-apa kerana mulut tak makan tapi masih melakukan maksiat seperti mengumpat, mencaci,aurat masih tidak tutup,” katanya.

 

Justeru itu kongsinya, orang beriman berpuasa perlu ada perancangan antaranya membuat post-mortem Ramadan tahun lepas agar tidak berada di takuk lama.

 

“Sembang dengan suami, anak-anak, sebut kekuatan dan kelemahan Ramadan yang lalu silih berganti agar Ramadan kali ini lebih baik dari tahun lepas.

 

Kedua ujarnya, pengisian Ramadan dengan amal ibadat, jika tahun lepas kita membaca al-Quran, kali ini kita tadabur, memahami al-Quran dengan membuka terjemahan supaya kita boleh mengambil pengajaran dari kisah yang terkandung di dalamnya.

 

Jelasnya, dalam surah Yusuf diceritakan kisah berbentuk kekeluargaan manakala surah Maryam untuk kekuatan yang mengingatkan kita bahawa apa yang berlaku pada kita berpegang kuat pada Allah.

 

“Bagi wanita yang tidak boleh sembahyang banyak lagi amalan lain yang boleh dilakukan seperti zikir, sedekah, doa 

“Paling penting buat skrip, bacalah apa sahaja yang kita kehendaki, usah biar Ramadan berlalu begitu sahaja. 

 

“Terawih sebulan sahaja dalam setahun jadi luangkan masa, tinggal kerja lain sebentar, kalau ada anak kecil, sembahyang di rumah jangan biarkan halangan demi halangan menipu diri kita terlalu lama,” pesannya.

 

Beliau menyeru wanita memanfaatkan bulan yang penuh berkat dengan menjadikan memasak sebagai aktiviti mengeratkan silaturahim bersama keluarga tercinta.

 

“Gunakan peluang yang ada untuk memasak di rumah bersama anak-anak, buat jadual memasak dan kurangkan ke bazar Ramadan, setakat telur masak sos baik kita masak sendiri lebih jimat dan bersih.

 

“Akan turun ke rumah kita malaikat pada dua waktu iaitu berbuka dan sahur,     tetamu Allah ini nak dengar doa-doa kita dan angkat naik jadi layanlah para malaikat dengan baik, banyakkan berdoa antara jam 7 petang hingga waktu berbuka dan antara 4.30 pagi hingga habis sahur.

 

“Pada waktu begini doa mustajab mintalah apa sahaja, elakkan sengketa, cakap dengan baik, berzikir dan mohon ampun kepada-Nya.

 

“Berbuka puasa tidak semestinya di rumah boleh jadi di masjid, rumah saudara, ajak keluarga datang dan menjamu orang berbuka selain jangan membazir supaya dengan amalan ini akan memberi motivasi kepada anak-anak untuk melakukan kebaikan,” ucapnya.

 

Kongsinya, Ramadan sebagai bulan mendidik anak-anak dengan membuat jadual bertugas misalnya ibu memasak, kakak menghidangkan makanan, abang gerak bangun sahur dan bapa tahajud. 

 

“Anak-anak kita kalau pandai akademik tapi tak pandai kemahiran hidup, tidak tahu buat kerja tidak ada makna kerana kemahiran hiduplah yang melengkapkan seorang isteri. 

 

Tags: terkini