Persatuan Pesara Universiti Utara Malaysia (PPUUM) Adakan Mesyuarat Agung Pertama

on . Posted in Komuniti

C

 

SINTOK - Mesyuarat Agung Pertama Persatuan Pesara Universiti Utara Malaysia (PPUUM)  telah diadakan di Dewan Seminar, Pusat Islam pada Selasa pagi.

Mesyuarat dipengerusikan oleh Tuan Haji Mohd Zaini Nasri dan dihadiri lebih 60 ahli PPUUM. Mesyuarat dimulakan dengan ucapan aluan oleh Presiden PPUUM, Tuan Haji Abdul Jalil Ahmad.

Beliau merakamkan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada semua ahli PPUUM yang hadir dan berkata kesempatan bertemu dengan ahli-ahli PPUUM pada mesyuarat berkenaan dapat mengeratkan kembali silaturahim yang telah terputus.

Menurutnya lagi dalam beberapa siri pertemuan antara PPUUM dengan Naib Canselor, beliau secara prinsipnya telah bersetuju mengenai beberapa perkara yang dibangkitkan oleh PPUUM.

"Antaranya memanjangkan kemudahan dalam kampus kepada pesara untuk menjalankan aktiviti, menyediakan kemudahan perubatan kepada pesara dan pasangan masing-masing, memberi keutamaan kepada anak pesara bagi mengisi apa-apa jawatan kosong universiti yang sesuai dengan kelayakan dan memberi potongan yuran pengajian kepada anak pesara yang menuntut di UUM," katanya.

Antara agenda mesyuarat ialah Pengesahan Minit Mesyuarat Agung yang lalu (Penubuhan), Membentang Laporan Aktiviti 2014, Membentang dan Mengesahkan Penyata Kewangan 2014, Perancangan Aktiviti 2015 serta Membentang dan membahaskan usul-usul dan cadangan.

Turut diadakan Majlis Tautan Mesra Aidilfitri 2015 di Dewan Makan, Pusat Islam sejurus selepas mesyuarat itu berlangsung.

Majlis berkenaan dimeriahkan lagi dengan kehadiran Naib Canselor, Prof Dato' Wira Dr Mohamed Mustafa Ishak dan isteri, Datin Norhayati Nazri.

Naib Canselor dalam ucapannya berkata walaupun baru sahaja ditubuhkan lebih kurang setahun, namun PPUUM sudah menampakkan kedinamikannya melalui pelbagai aktiviti yang dijalankan dan mendapat sambutan oleh ahli-ahlinya.

"Pihak universiti akan sentiasa memberi sokongan terhadap PPUUM termasuk dari segi kewangan agar pelbagai aktiviti dapat dijalankan. Saya juga berharap PPUUM akan terus berkembang maju dan lebih banyak ahli menyertainya serta dapat terus menyumbang idea untuk pembangunan Universiti," ujarnya.

Turut hadir Bendahari, En. Amron Man dan pegawai-pegawai universiti.

PPUUM telah didaftarkan penubuhannya pada 19 November 2014 bermatlamat menyatupadukan semua pesara UUM untuk kepentingan dan faedah pesara serta keluarga mereka.

Tags: terkini