UUM Masuk Ranking Dunia Buat Kali Pertama

on . Posted in Pendidikan

Oleh: Unit Komunikasi Korporat

UUM Masuk Ranking Dunia Buat Kali Pertama

Usaha gigih Universiti Utara Malaysia (UUM) dalam agenda ranking antarabangsa ternyata membuahkan hasil apabila buat pertama kali tersenarai dalam Quacquarelli Symonds (QS) World University Rankings.

Menurut laporan terbaharu badan ranking dunia itu, UUM tersenarai dalam kumpulan 700+ QS World University Rankings bagi tahun 2015/2016. Pada tahun 2014 UUM tidak tersenarai dalam ranking badan dunia tersebut.

 

Selain itu UUM juga berjaya memperbaiki kedudukannya dalam kategori bidang Sains Sosial dan Pengurusan.

Bagi tahun 2015/2016, UUM melonjak 28 anak tangga ke tangga 336 dari tahun sebelumnya di kedudukan 364. Bagi ranking dalam negeri, UUM memperbaiki kedudukan untuk berada di tangga ke tujuh berbanding di kedudukan ke lapan sebelum ini.

 

Antara kriteria yang dinilai ialah reputasi akademik, reputasi majikan, fakulti pelajar, sitasi (citation) bagi setiap fakulti, fakulti antarabangsa dan pelajar antarabangsa.

QS World University Rankings merupakan senarai kedudukan universiti terbaik dunia yang dikeluarkan secara tahunan. Pada tahun ini 3,539 institusi dipertimbangkan untuk kemasukan dan hanya 891 institusi yang berjaya tersenarai dalam ranking berkenaan.

 

Naib Canselor, Prof Dato' Seri Dr Mohamed Mustafa Ishak yang gembira dengan pencapaian terbaru UUM itu melahirkan rasa syukur dan mengucapkan terima kasih kepada seluruh warga kerja UUM yang telah memberikan sumbangan kepada kejayaan UUM dalam arena ranking dunia.

Tags: terkini