UUM Dapat Akreditasi AMBA

on . Posted in Pendidikan

Oleh Unit Komunikasi Korporat

mba

SINTOK - Universiti Utara Malaysia (UUM) sekali lagi menempa kejayaan cemerlang di peringkat antarabangsa apabila program Sarjana Pentabiran Perniagaan (MBA) di bawah Othman Yeop Abdullah Graduate School of Business (OYAGSB) menerima akreditasi oleh Persatuan MBA (Association of MBAs, AMBA) yang berpusat di London, United Kingdom (UK).

Kejayaan terbaru itu dimaklumkan oleh Sekterariat AMBA, Katherine O' Flynn pagi ini.

AMBA merupakan pihak berkuasa antarabangsa untuk pendidikan perniagaan pascasiswazah, yang ditubuhkan pada 1967. Badan akreditasi ini menyediakan perkhidmatan akreditasi berprestij untuk mengekalkan standard global bagi semua program MBA, Doctor of Business Administration (DBA) dan Master of Business and Management (MBM).

AMBA pada masa ini merupakan satu-satunya persatuan keahlian profesional yang menghubungkan pelajar-pelajar dan graduan MBA, sekolah perniagaan yang diiktiraf dan majikan-majikan MBA di lebih 110 negara.

Sehingga September 2014, sebanyak 219 sekolah perniagaan pascasiswazah di 52 negara menerima pengiktirafan AMBA. Antaranya adalah Judge Business School, University of Cambridge dan Saïd Business School, University of Oxford di UK.

Akreditasi AMBA mewakili standard pencapaian dunia tertinggi dalam pendidikan perniagaan pascasiswazah dan hanya diperolehi oleh program terbaik. Ia juga mewakili jaminan kualiti kepada semua pemegang taruh termasuk pelajar, institusi pendidikan tinggi, graduandan majikan.

Naib Canselor, Prof Dato' Seri Dr Mohamed Mustafa Ishak amat gembira dengan kejayaan terbaru ini dan beliau merakamkan ucapan tahniah kepada seluruh warga kerja OYAGSB khususnya dan UUM amnya.

"Ini adalah satu mercu tanda kepada kualiti akademik UUM khusus bagi program MBA yang setanding dengan universiti ternama dunia yang lain," ujarnya.

Tags: terkini