Advokasi Ilmuan MPN Kupas Isu Keserantauan Negara Asean

on . Posted in Pendidikan

Oleh: Unit Komunikasi Korporat

Advokasi Ilmuan MPN Kupas Isu Keserantauan Negara Asean

SINTOK - Persatuan Negara-Negara Asia Tenggara atau Association of Southeast Asian Nations (ASEAN) yang ditubuhkan 48 tahun lalu kini dilihat sebagai sebuah rantau yang berjaya dan dinamik, bagaimanapun tidak lari dalam berhadapan dengan cabaran dan isu strategik yang dilihat masih belum diselesaikan.

 Sehubungan itu, Majlis Profesor Negara (MPN) dengan kerjasama Universiti Utara Malaysia (UUM), Utusan Malaysia dan RTM telah menganjurkan Advokasi Ilmuan siri ke-7 bertajuk Keserantauan: Jiran atau Sempadan bagi menjelas dan mengupas pelbagai isu serta konflik yang berlaku melibatkan 10 negara anggota ASEAN di EDC Hotel & Residence, pagi tadi.

 

Tiga panel terdiri Naib Canselor UUM, Prof. Dato' Seri Dr. Mohamed Mustafa Ishak; Penasihat Undang-undang Universiti Malaysia Kelantan (UMK), Prof. Dato' Abd Halim Sidek dan Profesor Ekonomi, Pusat Pengajian Ekonomi, Kewangan dan Perbankan, Prof. Dato' Dr. Amir Hussin Baharuddin bersama pemudahcara, Shuhaimi Mohamed dari RTM membincangkan topik tentang Keserantauan: Jiran atau Sempadan.

 

Naib Canselor yang memfokuskan kepada konflik sempadan dan overlapping claim berkata, Asean yang diwujudkan pada 1967 dilihat sangat berjaya dan dinamik dan secara tidak langsung menyebabkan negara-negara kuasa besar melihat ASEAN sudah maju seperti dari aspek ekonomi dan politik.

 

"Kita mempunyai perairan di rantau ini yang sangat penting kepada dunia seperti Selat Melaka yang mana setiap hari sebanyak 41,000 tan kargo melalui perairan tersebut.

 

"Rantau ini bukan sahaja penting dalam kalangan negara anggota ASEAN, malah kepada negara besar seperti China dan juga barat yang melihat kestabilan dan potensi ekonomi yang tinggi," katanya sebagai permulaan perbincangan.

 

Tambahnya, ASEAN adalah kawasan yang aman dan bebas serta berkecuali dari sebarang konflik dan salah satu faktor ASEAN diwujudkan adalah bagi mengelak konflik antara negara-negara jiran juga.

 

"Masalah domestik ini semua negara menghadapinya termasuk Malaysia, justeru kita tidak perlu rasa 'defensive', malah masih berupaya untuk membendung masalah dalaman tersebut.

 

"Sudah lebih 40 tahun ASEAN berjaya mempertahankan prinsip tersebut dan mengelak konflik peperangan, bagaimanapun tidak terlepas dalam menghadapi isu rentas sempadan seperti isu kemanusiaan, pencerobohan, pendatang haram dan jerebu," katanya.

 

Beliau selaku Ketua Kluster Politik, Keselamatan dan Hal Ehwal Antarabangsa, MPN berharap untuk melihat ASEAN dapat terus dikekalkan kerana negara tidak mampu menghadapi isu antarabangsa secara sendirian, cuma apa yang perlu dilakukan adalah dengan memperkukuhkan lagi kedudukan ASEAN.

 

Ujarnya, dalam kalangan ASEAN juga perlu mengatasi masalah yang dihadapi dan negara anggota perlu 'ambitious' walaupun masing-masing mempunyai perbezaan dan ASEAN ini hanya perlu di 'polish' dan digerakkan lagi untuk menjadi lebih kuat.

 

Panel kedua yang memfokuskan kepada prinsip international law dalam menyelesaikan asalan tuntutan bertindih dan penyelesaian, Prof. Dato' Abd Halim Sidek berkata, ASEAN perlu berperanan mengekalkan rantau ini dari ancaman dan bebas dari kancah peperangan, malah sebagai jiran juga perlu mengekalkan silaturrahim dengan negara lain termasuk tidak campur tangan dalam hal domestik mereka.

 

Namun, menurutnya, sebagai jiran yang baik juga boleh memberikan nasihat mengikut had dan keadaan bagi mengelak perselisihan yang berlaku dari terus berlarutan.

 

Katanya, ASEAN mempunyai potensi besar dan selepas 48 tahun patut ada anjakan paradigma yang mana dasar-dasar lapuk perlu dinilai semula dan tengok ke arah baharu lebih kontemporari kerana kini cabaran semakin hebat dan memerlukan pendekatan berlainan tanpa mengubah sepenuhnya.

 

"Masalah sempadan yang berlaku juga tidak sepatutnya menjadi halangan kepada kita untuk terus maju ke hadapan walaupun ASEAN belum sampai ke peringkat keharmonian keselamatan," ujar beliau yang juga Setiausaha Kluster Politik, Keselamatan dan Hal Ehwal Antarabangsa, MPN.

 

Dari aspek pembangunan ekonomi di kawasan sempadan serta kerjasama dalam konteks segi tiga ekonomi, Prof. Dato' Dr. Amir Hussin Baharuddin berkata, ASEAN adalah untuk rakyatnya yang menjaga aspek politik, ekonomi dan budaya bagi mengelak timbulnya isu seperti masalah pelarian dan kemiskinan.

 

Katanya, ekonomi ASEAN dilihat gagal diangkat meskipun terdapat Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER) dan Indonesia-Malaysia-Thailand Growth Triangle (IMT-GT), sepatutnya ia digerakkan kerana 48 tahun ASEAN ditubuhkan sudah terlalu lama.

 

Tambahnya lagi, sekiranya ada agenda atau projek untuk IMT-GT harus bergerak dan jangan disimpan, malah universiti awam dan institusi pengajian tinggi juga perlu memainkan peranan.

"Selain itu, pintu masuk sempadan di utara negara dan selatan juga jauh berbeza dalam perkembangan ekonomi kerana kita di sini tidak kreatif untuk mengembangkan ekonomi di sempadan utara.

 

"Semangat peniaga tidak mahu memerhati..potensi jual beli di sempadan ini banyak tetapi kita tidak gunakan sebaiknya, sebaliknya menjual pula barangan yang diambil dari negara jiran walaupun banyak lagi produk tempatan yang berpotensi besar untuk dimajukan," ujarnya.

 

Bagaimanapun, katanya, ASEAN adalah agung tetapi semangat ASEAN masih belum diterapkan dalam kalangan semua pihak dan sekiranya semua mempunyai semangat tersebut, sebarang konflik atau isu dihadapi dapat ditangani.

 

Pada petang ini diadakan sesi kunjungan hormat dan perkongsian MPN bersama para Profesor UUM yang mana turut dihadiri Ketua Pegawai Eksekutif MPN, Prof. Dato' Dr. Raduan Che Rose.

 

Dalam majlis itu, MPN turut memberikan taklimat, selain sesi perbincangan tentang MPN Chapter UUM serta sesi soal jawab.

Tags: terkini