APLIKASI SOKONGAN UNTUK BAHASA MELAYU BANTU PELAJAR HADAPI MASALAH PEMBELAJARAN

on . Posted in Pendidikan

Oleh: Nordiana Shafiee

Gambar oleh: Sumber dari zulikha.wordpress.com

APLIKASI SOKONGAN UNTUK BAHASA MELAYU BANTU PELAJAR HADAPI MASALAH PEMBELAJARAN

 

Umum menyangka disleksia sebagai satu penyakit, namun sebaliknya ia merupakan gangguan pelajaran yang dialami oleh kanak-kanak atau pelajar yang berhadapan masalah seperti membaca, menulis, mengingat dalam jangka masa yang singkat dan menerima arahan yang banyak.

 

Justeru, bagi membantu golongan tersebut yang mana memerlukan kaedah pembelajaran dan alat bantu mengajar yang sesuai dan efektif, Penyelidik UUM, Prof. Dr. Zulikha Jamaludin dari Pusat Pengajian Pengkomputeran (SoC) bersama Dr. Husniza Husni dan Dr. Mustafa Muwafak Alobaedy telah menghasilkan alat bantu pembelajaran interaktif dikenali sebagai 'BacaDisleksia: Aplikasi Sokongan Untuk Bahasa Melayu'.

 

Prof. Dr. Zulikha Jamaludin berkata, Bacadisleksia direka khusus untuk kanak-kanak disleksia bagi memudahkan mereka membaca dalam Bahasa Melayu dengan rekaan bentuk interaksi menarik sebagai tumpuan utama.

 

Ujarnya, kajian tentang produk itu sudah dijalankan sejak 2009 lagi sebelum dibangunkan lapan bulan lalu dengan menelan kos kira-kira RM40,000.

"Kami percaya melalui penyelidikan dan pengalaman bersama kanak-kanak disleksia ini, alat bantu pembelajaran yang dilengkapi dengan teks serta warna Irlen yang diguna dalam reka bentuk interaksi (IxD), aplikasi BacaDisleksia akan membantu murid membaca dengan lebih baik, seterusnya meningkatkan motivasi dan keyakinan diri”.

"Seramai 28 kanak-kanak disleksia berusia antara tujuh hingga 14 tahun terlibat dalam kajian ini dan mereka merupakan subjek kajian untuk reka bentuk persona Cooper yang diasaskan daripada teori IxD.

"Persona dan teori IxD inilah yang diterjemahkan ke dalam reka bentuk BacaDisleksia sebagai implikasi kajian," katanya.

Menurutnya lagi, kandungan BacaDisleksia itu terdiri daripada tiga peringkat membaca yang mewakili tiga tahap kerumitan corak suku kata. Tahap tiga juga turut merangkumi ayat-ayat mudah untuk latihan murid membaca.

Katanya, guru juga dibenarkan untuk menambah, mengedit, merakam sebutan yang betul atau memadam perkataan dan ayat di semua peringkat membaca itu, malah memberikan mereka fleksibiliti untuk memilih perkataan sendiri dan ayat yang akan digunakan untuk mengajar. Perisian ini, walaupun dikhususkan untuk pengajaran Bahasa Melayu, ia boleh juga digunakan untuk pengajaran dan pembelajaran Bahasa Inggeris, Bahasa Cina, Bahasa Tamil, dan Matematik.

 

"Untuk sesi pengajaran dan pembelajaran berkesan, BacaDisleksia juga membenarkan murid merakam bacaan dan dimainkan semula bagi membolehkan mereka memperbaiki bacaan sendiri. Konsep ‘self-learning’ ini penting kepada murid disleksia, di mana tiada sesiapa perlu menegur atau mengarahkan mereka membaiki bacaan. Arahan atau teguran berulang terhadap murid disleksia akan membantutkan keupayaan mereka kerana mereka cenderung ‘mengaku kalah’ apabila sering ditegur kesilapan bacaan.

"Kedua-dua fungsi ini membolehkan mereka untuk merakam suara (ketika membaca) dan memainkan semula perkataan tersebut. Dua fungsi tersebut menyokong artikulasi dan mendengar, sekali gus membantu murid memadankan visual dan pendengaran," katanya.

Menurutnya, dengan ciri yang diterangkan di atas, BacaDisleksia adalah aplikasi yang sangat fleksibel selain interaktif. Antara muka penggunanya juga adalah ‘dyslexia-friendly’, justeru aplikasi tersebut dapat membantu kanak-kanak atau pelajar yang menghadapi masalah pembelajaran untuk membaca.

Tambah beliau, rekaan yang dicadangkan itu juga boleh digunakan untuk menghasilkan reka bentuk aplikasi khusus untuk membantu kanak-kanak ini bukan sahaja membaca tetapi dalam mengeja dan menulis atau dalam subjek akademik lain.

 

Prof. Dr. Zulikha berkata, BacaDisleksia dibangunkan menggunakan Windows Presentation Foundation (WPF) dan pangkalan data SQL Server (Microsoft).

 

Produk tersebut kini sudah diguna pakai oleh murid yang menghadapi masalah pembelajaran dan pelbagai masalah membaca (disleksia, disgrafia, diskalkulia, dan Nonverbal Learning Disorder (NVLD) di beberapa buah sekolah di Kedah dan Kelantan.

 

BacaDisleksia: Aplikasi Sokongan Untuk Bahasa Melayu telah meraih pingat emas di Persidangan Antarabangsa dan Pameran Ciptaan Institusi Pengajian Tinggi (PECIPTA) 2015 yang berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), baru-baru ini.

 

Tags: terkini