Jejak Langkah Pertama Ke Sekolah

on . Posted in Pendidikan

Oleh: Musyaznie Mokhtar

Jejak Langkah Pertama Ke Sekolah

Dunia asing! Ini merupakan gambaran yang tersemat kemas di minda anak yang anda tatang bagai minyak yang penuh selama ini saat pertama kali menjejakkan kaki pada hari pertama sesi persekolahan setelah menginjak usia yang ke tujuh tahun.  Lain orang lain ragamnya begitu juga dengan anak-anak kerana ada diantara mereka seronok untuk pergi ke sekolah dan ada segelintir yang akan mempamerkan aksi pelbagai ragam seperti menangis, meraung dan meronta-ronta untuk dibawa pulang. Selalunya perkara ini akan terjadi pada minggu pertama memasuki sekolah kerana perasaan takut, tidak selamat, terancam, banyak kawan-kawan yang tidak dikenali dan yang paling penting perlu berdikari kerana ketiadaan ibu bapa di sisi.

Ibu bapa perlu banyak bersabar dan bijak mengatur langkah dalam menghadapi karenah anak-anak ketika mereka mengalami satu fasa perubahan dalam tingkat kehidupan. Anda perlu lebih memahami dan menjadi sumber kekuatan yang utama dalam memberikan kata nasihat, dorongan dan semangat agar anak-anak mampu melaluinya. Jadilah pendengar yang setia kepada setiap luahan anak-anak dan peka dengan maksud yang ingin disampaikan. Mungkin anak-anak digangu oleh rakan-rakan di sekolah tetapi tidak berani memberitahu ibu bapa. Melalui pemerhatian tingkah laku dan gaya bahasa yang digunakan sudah boleh diketahui anak-anak mempunyai masalah ataupun tidak kerana ibu bapa lebih mengenali siapa anaknya. Betulkan?

Oleh yang demikian, persediaan yang rapi perlu dilakukan agar anak-anak bersedia menghadapi hari persekolahannya dan perasaan cemas boleh dikurangkan antaranya:

  1. 1.Didik anak untuk lebih berdikari terutama dalam menguruskan diri sendiri.

Pertama, dari aspek pemakaian. Ajar anak-anak untuk memakai baju sendiri kerana di sekolah ada masa mereka perlu menyalin baju sendiri setelah bersukan.

Kedua, ajar anak-anak untuk berani pergi ke tandas dengan sendiri atau berteman. Ini kerana ada anak-anak yang sanggup tahan daripada membuang air sehingga tamat waktu persekolahan kerana takot untuk ke tandas sekolah. Jika dibiarkan boleh mendatangkan mudarat.

Ketiga, anak-anak perlu didedahkan dengan ilmu penggunaan wang ringgit kerana di sekolah mereka perlu menilai sendiri jumlah yang ada untuk membeli makanan, minuman atau alat keperluan lain di koperasi sekolah. Pesan juga kepada anak-anak agar tidak menunjuk wang yang ada bagi mengelakkan kes kecurian.

Keempat, ajar anak-anak bagaimana menguruskan buku-buku sekolah dan alat tulis agar tidak tercicir dan hilang. Cuba bayangkan anak balik setiap hari dan pensel mesti akan berkurang satu. Jika berterusan, ibu bapa yang rugi kerana perlu membeli lagi pensil tersebut dan hal ini akan melahirkan tingkah laku anak-anak yang ambil mudah terhadap penjagaan barang sendiri.

Kelima, ajar anak-anak untuk memakai kasut sendiri dan cara mengikat tali kasut. Ingat, di sekolah ibu bapa tidak ada bersama anak-anak. Oleh itu, ilmu asas tentang pengurusan diri perlu dilatih oleh ibu bapa agar anak-anak mampu berdikari dan tidak terlalu bergantung kepada guru serta rakan-rakan di sekolah. 

  1. 2.Memberi dorongan, semangat, harapan dan pengertian terhadap bertapa penting untuk ke sekolah.

 

Anak-anak akan lebih berkeyakinan dan bersemangat dalam menghadapi alam persekolahan apabila sentiasa dihujani dengan kata-kata motivasi yang mampu membakar azam untuk terus melangkah anak tangga menuju kejayaan. Fahamkan kepada anak-anak mengapa mereka perlu ke sekolah dan cuba bersama dengan anak-anak untuk menetapkan matlamat yang jelas agar kapal yang berlayar menuju ke destinasi tidak karam di tengah lautan. Contohnya, tetapkan matlamat nak dapat nombor satu dalam kelas. Bila dah ada matlamat, doronglah anak-anak untuk berusaha mencapai matlamat tersebut.

 

  1. 3.Kenalkan suasana sekolah kepada anak-anak

 

Bawalah anak-anak berjalan di sekitar kawasan sekolah terutama kelas, kantin, bilik guru, surau dan tandas sekolah bagi memudahkan anak-anak menguruskan diri. Beritahu anak-anak perkara yang tidak boleh dilakukan di sekolah  dan didik mereka untuk patuh kepada peraturan yang ditetapkan. Selain itu, kenalkan mereka kepada guru kelas. Proses ini penting agar anak-anak menjadi selesa dan tenang ketika berada dalam kelas.

  1. 4.Cara memilih kawan yang baik

 

Ajar anak-anak cara memilih kawan yang baik serta kepentingnya. Jika anak-anak memilih kawan yang sering bermain ketika guru mengajar, tidak menyiapkan kerja sekolah, suka bergaduh, sudah pasti prestasi pelajarannya juga akan merudum. Sebagai ibu bapa, anda perlu kenal dan tahu dengan siapa anak-anak berkawan dalam memantau setiap gerak-geri agar mereka tidak mengikut jalan yang salah dalam proses tumbesaran fizikal dan mental.

  1. 5.Didik dengan akhlak yang baik

Didiklah anak-anak dengan akhlak yang baik kerana walau di mana pun mereka berada akan dapat menyenangkan orang di sekeliling. Kuatkan dalaman anak-anak dengan tiang agama yang kukuh sudah pasti mereka akan lebih bijak membawa diri dalam menghadapi setiap ujian dan rintangan  dengan kesabaran, keberanian, fikiran yang jelas dan terbuka untuk mencari penyelesaian. 

  1. 6.Proses pembelajaran di dalam kelas secara ringkasnya

 

Terangkan secara ringkas bagaimana untuk menuntut ilmu di dalam kelas kepada anak-anak. Contohnya, jika tidak tahu atau kurang jelas dengan apa yang diajar oleh guru, mereka perlu angkat tangan dan bertanya kepada guru. Selain itu, perlu menyiapkan segala tugasan yang diberikan oleh guru. Jangan bising ketika guru sedang dan sebolehnya tempatkanlah anak-anak di tempat duduk barisan hadapan di dalam kelas bagi mengekalkan tumpuan sepenuhnya ketika guru sedang mengajar.  Semua ini perlu dijelaskan agar mereka memahami dan tidak terlalu terkejut dengan persekitaran baru yang akan ditempuhi untuk jangka masa yang panjang bergelar pelajar sekolah.

Tags: terkini