Pasukan D'poudre Sdn Bhd Ungguli NEC 2015/2016

on . Posted in Pendidikan

Oleh: Siti Zaleha Ahmad Nadzim

Gambar oleh: Hairul Nizam Zahari

dpouder

PUTRAJAYA – Pasukan D'Poudre Sdn. Bhd. yang mewakili Universiti Teknologi Malaysia muncul juara pertandingan ‘National Entrepreneurship Challenge’ (NEC) 2015/2016.


D’Poudre Sdn. Bhd. merupakan sebuah syarikat yang menjual bekalan perubatan kepada institusi kesihatan di Malaysia melalui produk Dual Antibax iaitu krim penyembuh luka yang telah melalui proses penyelidikan dan pembangunan (R&D) membawa pulang wang tunai RM10,000 berserta Piala Pusingan Menteri Pendidikan Tinggi, Piala Iringan dan sijil.


Tempat kedua dimenangi oleh syarikat Wowkawkaw. Sdn. Bhd. (Universiti Islam Antarabangsa Malaysia) dan membawa pulang wang tunai RM5,000 berserta pingat dan sijil manakala tempat ketiga dimenangi syarikat Dysoft Global Sdn. Bhd (Universiti Putra Malaysia) menerima wang tunai  berjumlah RM3,000 berserta pingat dan sijil.


Sementara itu, Anugerah CEO Terbaik disandang oleh Nor Fatihah Ramle dari syarikat D’Poudre Sdn. Bhd. telah menerima wang tunai berjumlah RM1,000 berserta Tropi dan sijil.


NEC atau dahulunya dikenali sebagai Pertandingan Simulasi perniagaan IPTA dianjurkan Institut Pembangunan Keusahawanan dan Koperasi (CEDI) Universiti Utara Malaysia (UUM) serta mendapat kerjasama Kementerian Pendidikan Tinggi Malaysia dan MyPec Sdn Bhd.


Seramai 45 peserta terdiri daripada pelajar dari sembilan Institusi Pengajian Tinggi (IPT) seluruh negara mengambil bahagian dalam NEC 2015/2016 yang berlangsung di Pusat Simulasi Perniagaan CEDI, Pusat Konvensyen UUM sejak 16 hingga 27 Januari lalu.


Pertandingan ini diadakan bertujuan mengembangkan daya keusahawanan dan semangat daya saing dalam kalangan mahasiswa dengan menyediakan satu platform untuk mahasiswa merasai suasana bekerja sebenar menerusi pengurusan perniagaan, seterusnya meningkatkan tahap kesedaran mahasiswa untuk menjadikan bidang keusahawanan sebagai kerjaya pilihan utama.


Dalam pertandingan ini, peserta yang terdiri daripada lima orang bagi setiap pasukan perlu menubuhkan atau mendaftar sebuah syarikat dan mengemukakan idea perniagaan masing-masing dan melalui cabaran perniagaan. 


Majlis penutup dan penyampaian hadiah kepada pemenang NEC 2015/2016 disempurnakan oleh Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Kementerian Pendidikan Tinggi, Yang Berbahagia Prof. Dato' Dr. Asma Ismail, yang mewakili Menteri Pendidikan Tinggi, Kementerian Pendidikan Tinggi, Yang Berhormat Dato’ Seri Idris Jusoh.


Yang Berbahagia Prof. Dato’ Dr. Asma Ismail yang membaca ucapan Menteri Pendidikan Tinggi, Kementerian Pendidikan Tinggi berkata, pertandingan ini adalah satu usaha yang sangat baik dalam membina modal insan yang mempunyai kemahiran dan pemikiran usahawan serta inovatif bagi kesejahteraan dan kemakmuran masyarakat pada masa hadapan. 

Beliau juga berharap lebih banyak penyertaan daripada IPT terutamanya daripada IPTS atau Universiti Swasta dalam penganjuran NEC pada masa akan datang.


“Bilangan penyertaan dan peserta boleh ditingkatkan dan penyertaan lebih banyak IPTS sangat penting bagi menampakkan cabaran sebenar yang lebih dekat dengan realiti dunia perniagaan yang lebih mencabar,” ujarnya.


Selain itu, beliau turut menyeru para pelajar yang akan keluar sebagai usahawan sebenar pada masa akan datang untuk bergerak ke arah perniagaan dan industri berasaskan Knowledge Economy (K-Economy) yang boleh menjamin 'sustainability' seperti dalam bidang nano-tech dan bio-tech.


Sementara itu, Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan & Inovasi) UUM, Prof. Dr. Noor Azizi Ismail yang mewakili Naib Canselor dalam ucapannya berkata, pertandingan ini juga merupakan satu platform pendidikan keusahawanan yang dapat membantu para peserta merasai dan mengalami suasana perniagaan dalam bentuk simulasi. 


“Saya berharap  agar peserta dapat menggarap satu pengalaman baru dalam mempelajari selok-belok menguruskan sebuah entiti perniagaan dan bersaing dalam persekitaran yang mencabar,” katanya.


Turut hadir pada majlis tersebut Timbalan Ketua Setiausaha Pembangunan, mewakili Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Tinggi, Yang Berbahagia Datuk Nik Ali Mat Yunus, Pengarah Eksekutif, Institut Pembangunan Keusahawanan dan Koperasi (CEDI) UUM, Prof. Madya Dr. Abdul Rahim Othman, dan Pengarah Malaysia Practice Enterprise Centre (MyPEC), Matsham Ahmad.

Tags: terkini