Dr. Narentheren Terima Pengiktirafan Di AGBA 12th Annual World Congress

on . Posted in Pendidikan

Oleh: Unit Komunikasi Korporat

doktor

PAHANG - Pensyarah Kanan Pusat Pengajian Pengurusan Perniagaan (SBM), College of Business (COB) Universiti Utara Malaysia (UUM), Dr Narentheren Kaliappen mengharumkan nama UUM apabila menerima dua anugerah di Academy for Global Business Advancement’s (AGBA) 12th Annual World Congress yang berlangsung di Universiti Malaysia Pahang (UMP) baru-baru ini.

 

Beliau  menerima anugerah Distinguished Doctoral Dissertation Award bagi tesis PhD nya yang bertajuk "Strategic Match and Effects of Competitive Strategy, Market Orientation and Innovation Strategy on Hotels’ Performance: The Catalyst For Economic Growth of a Nation” oleh AGBA yang berpangkalan di Amerika Syarikat.

 

AGBA merupakan sebuah persatuan profesional dalam bidang pentadbiran perniagaan, perdagangan, ekonomi, keusahawanan, teknologi maklumat, pelancongan, hospitaliti dan sektor rekreasi.

 

Anugerah disampaikan oleh wakil Naib Canselor UMP, Profesor Dato’ Dr. Hasnah Haron, Dekan Institut Pengajian Siswazah (IPS) UMP bersama Prof. Dr. Klaus-Peter Wiedmann, Chair for Marketing and Director, Institute of Marketing Management, Leibniz University di Hannover, Jerman dan Chair: AGBA’s Global Board of Trustees.

 

Pada majlis yang sama juga beliau menerima Best Paper Award bagi kertas penyelidikannya yang bertajuk “The Influence of Porter’s Competitive Strategy on Organizational Performance: The Role of Strategic Capability.”

 

Dr Narentheren memperoleh Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Perniagaan dengan Kepujian [BBA (Hons)] UUM pada 2009 dan Sarjana Pentadbiran Perniagaan (MBA) pada 2011 dan seterusnya memperoleh PhD dalam bidang Pengurusan Strategik pada 2014 di bawah seliaan Prof Madya Dr Haim Hilman Abdullah. 

 

Beliau yang gembira dan berbangga menerima anugerah berprestij tersebut berterima kasih kepada penyelianya atas tunjuk ajar dan perkongsian ilmu pengetahuan serta sokongan keluarga yang diberikan. 

 

"Anugerah yang diterima ini akan saya jadikan batu loncatan bagi projek penyelidikan dan kemajuan kerjaya saya pada masa hadapan," katanya yang juga merupakan Pengurus Daya Saing Nasional & Global di Institut Pengurusan Kualiti (IPQ) UUM.

Tags: terkini