Kaunter Pendaftaran SPR Dapat Sambutan Menggalakkan

on . Posted in Pendidikan

Oleh: Pusat Budaya dan Seni

Kaunter Pendaftaran SPR Dapat Sambutan Menggalakkan

SINTOK - Inisiatif Pusat Budaya dan Seni (PBS) Universiti Utara Malaysia (UUM) bekerjasama dengan Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) membuka kaunter pendaftaran pemilih SPR sempena Festival Kebudayaan UUM Ke-6 (UCF) 2016 menerima sambutan hangat dan positif daripada mahasiswa universiti ini.

Kaunter pendaftaran yang dibuka mulai jam 10:00 pagi sehingga 4:00 petang itu dikunjungi hampir 3000 pelajar yang mendaftar sebagai pemilih berlangsung selama tiga hari bermula dari 26 hingga 28 September 2016.

Menurut Pembantu Pendaftaran Pilihan Raya Kedah, Abdul Halim Mat sambutan daripada pelajar adalah sangat menggalakkan.

“Pihak SPR amat terkejut dengan sambutan yang diluar jangkaan sehingga pihak kami kehabisan borang,” ujar beliau.

Katanya lagi, sambutan yang hebat ini adalah atas kesedaran para pelajar tentang pentingnya melaksanakan tanggungjawab sebagai rakyat Malaysia.

”Dengan bantuan media sosial seperti Facebook dan Whatsapp, hasrat kami untuk mendekati pengundi baharu tercapai,” tambahnya.

SPR Kedah berharap kerjasama dengan PBS dapat diteruskan dan berterima kasih di atas setiap kesempatan yang diberikan.

Pengarah PBS, Huzaidy Hussain berkata usaha meningkatkan kesedaran dalam kalangan mahasiswa mengenai tanggungjawab membuang undi harus diperhebatkan lagi terutama di pusat-pusat pengajian tinggi dalam dan luar negara.

“Kita rasa terpanggil untuk bersama-sama SPR mendekati pengundi-pengundi baharu terutamanya anak-anak muda kerana mereka bakal mewarisi kepimpinan negara pada suatu hari nanti,” tegasnya.

Orang ramai turut mengambil peluang untuk menyemak daftar pemilih dan lokasi membuang undi. Mana-mana individu yang berusia 21 tahun dan ke atas layak mendaftar sebagai pemilih hanya perlu mengisi borang dan membawa kad pengenalan di kaunter pendaftaran. 

 

Tags: terkini