Pendekatan Pembelajaran Berpusatkan Pelajar Perlu Kolaborasi Pelbagai Pihak

on . Posted in Pendidikan

Oleh: Mohd Amir Aizat Sainon

Gambar oleh: Muhammad Hasif Ismail

Pendekatan Pembelajaran Berpusatkan Pelajar Perlu Kolaborasi Pelbagai Pihak

 

SINTOK - Pusat Pengajaran Pembelajaran Universiti (UTLC) Universiti Utara Malaysia (UUM) telah menganjurkan syarahan bertajuk "Towards A Student Centered Approach To Learning: Collaborative Assignment," di Dewan Seminar C, Pusat Konvensyen.

 

Syarahan ini disampaikan oleh Dr. Mohammad Tazli Azizan, Ketua Centre for Excellence in Teaching & Learning (CETaL), Universiti Teknologi Petronas (UTP).

 

Beliau telah berkongsi ilmu mengenai keperluan untuk mentransformasi pendekatan pembelajaran konvensional kepada pendekatan pembelajaran berpusatkan pelajar (student centered) yang dilihat penting dalam usaha untuk melibatkan dan mendekatkan diri dengan generasi masa kini, selaras dengan Lonjakan Pertama Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2015-2025 (Pendidikan Tinggi) iaitu ke arah melahirkan graduan yang holistik, seimbang dan berciri keusahawanan.

 

Tambahnya, pendekatan itu juga adalah untuk mentransformasi guru ke arah menjadi pendidik terpelajar dan pelajar memperoleh kemahiran berfikir aras tinggi, mempunyai keupayaan menyelesaikan masalah kompleks serta memperkasa kemahiran kerja berpasukan sesama mereka.

 

Selain itu, beliau turut berkongsi mengenai CETaL UTP yang ditubuhkan untuk merealisasikan hasrat tersebut di mana salah satu agendanya adalah menggalakkan penggunaan pendekatan pedagogi yang berbeza seperti pembelajaran aktif, pembelajaran berasaskan masalah, penggunaan kaedah flipped classroom dan memperkenalkan pelbagai kaedah penilaian pelajar.

 

Beliau juga menekankan bahawa untuk bergerak ke arah hasrat itu memerlukan kolaborasi sinergi daripada semua pihak dan para pendidik perlu lebih inovatif untuk bersama-sama melakukan perubahan tersebut.

 

Hadir sama Pengarah UTLC, Prof. Madya Dr. Fauziah Abdul Rahim dan pegawai-pegawai UUM.

 

Tags: terkini