Pembangunan Minda Keusahawanan Melalui Program 3EP

on . Posted in Pendidikan

Oleh : Musyaznie Mokhtar

3EP

 

SINTOK - Seramai 85 tenaga akademik dari Institut Pendidikan Tinggi (IPT) seluruh Malaysia telah menyertai Program Peningkatan Kompetensi Tenaga Pengajar: Entrepreneurial Educator Enhancement Program (3EP) Siri 3.

Program yang diadakan selama sembilan hari bermula pada 2 hingga 10 April 2017 telah memberi peluang kepada tenaga akademik untuk meningkatkan kompetensi keusahawanan.

Menurut Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Dr. Mary Yap Kain Ching, dunia sekarang sangat mencabar dan program ini akan menghasilkan pelajar yang berdaya saing, inovatif, kreatif serta berani keluar dari zon selesa untuk menceburi bidang keusahawanan.

“Kita perlu melahirkan pelajar yang menjana pekerjaan (job creator) dan program 3EP ini merupakan pemangkin kepada pembangunan minda keusahawanan melalui proses pengajaran dan pembelajaran yang efektif,” ujar beliau yang hadir dalam majlis penutupan.

Tambah beliau, tenaga akademik yang menyertai program ini  akan menjadi mentor kepada pelajar dalam menceburi dunia perniagaan dan keusahawanan.

Wakil peserta dari Universiti Teknologi Malaysia, Ahmad Zaidi Zahari berkata, program ini telah memberi kesedaran dan rasa tanggungjawab kepada tenaga akademik untuk mewujudkan minda keusahawanan dalam diri setiap pelajar melalui proses pengajaran dan pembelajaran.

Melalui program ini, lebih 60 peratus pelajar IPT mendapat pendedahan keusahawanan secara berstruktur dan lebih tiga peratus pelajar menjalankan aktiviti perniagaan dan keusahawanan secara aktif pada tahun lalu.

Tags: terkini