85 Tenaga Akademik IPT Terima Sijil Profesional Keusahawanan (3EP)

on . Posted in Pendidikan

Oleh: Mohd Amir Aizat Sainon

Gambar oleh: Muhammad Hasif Ismail

85 Tenaga Akademik IPT Terima Sijil Profesional Keusahawanan 3EP

SINTOK - Seramai 85 tenaga akademik dari Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) seluruh Malaysia menerima Sijil Profesional Keusahawanan (3EP) setelah berjaya menamatkan Program Peningkatan Kompetensi Tenaga Pengajar: Entrepreneurial Educator Enhancement Program (3EP) Siri 3 di EDC Hotels & Resorts.

 

Program yang berlangsung dari 2 hingga 10 April ini merupakan usaha Kementerian Pendidikan Tinggi di bawah inisiatif Pelan Tindakan Keusahawanan IPT 2016-2020 yang memberikan peluang peningkatan kompetensi keusahawanan kepada kumpulan tenaga pengajar akademik yang bertindak sebagai kumpulan enabler atau pemangkin kepada pembangunan graduan berciri keusahawanan unggul untuk menganjakkan minda mereka daripada pencari pekerjaan (job seeker) kepada penjana pekerjaan (job creator). 

 

Melalui program ini, peserta didedahkan dengan pedagogi pengajaran dalam pembelajaran keusahawanan yang lebih terkini dan efektif bagi menjadikan mereka tenaga pengajar yang mempunyai kepakaran keusahawanan sebagai mentor kepada perniagaan dan projek keusahawanan pelajar. 

 

Selain itu program ini juga menerapkan elemen keusahawanan merentasi kurikulum dan bidang pengajian mereka bagi memenuhi ekspektasi penilaian pelajar IPT yang holistik, berciri keusahawanan dan seimbang di bawah sistem Purata Nilai Gred Kumulatif Bersepadu atau iCGPA.

 

Penyampaian sijil kepada peserta program 3EP disempurnakan Yang Berhormat Datuk Dr. Mary Yap Kain Ching, Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi.

 

Beliau dalam ucapannya berkata pelaksanaan program 3EP tepat pada masanya kerana ia menyediakan peluang kepada para pendidik dan pentadbir untuk meningkatkan kebolehan untuk berfikir dan bertindak secara keusahawanan di samping meningkatkan pengajaran dan pembelajaran keusahawanan mereka.

 

"Tenaga akademik perlu bercita-cita tinggi dan berani dalam mereka bentuk dan menyampaikan program pendidikan yang akan merangsang, membangun dan menarik generasi muda untuk menjadi yang terbaik di dunia, mencipta dan memimpin perusahaan baru yang dinamik, dan akhirnya menjadi penjana pekerjaan dan bukannya pencari pekerjaan.

 

"Ianya adalah tanggungjawab kita sebagai pendidik, golongan bijak pandai dan pembuat dasar untuk memperkasa pelajar-pelajar kita untuk BELAJAR dan DAPAT dan menyerlahkan potensi keusahawanan mereka ke arah mentransformasi Malaysia menjadi negara keusahawanan," ujarnya.

 

Tambahnya program itu telah menunjukkan impak yang positif di mana lebih 60% pelajar IPT telah mendapat pendedahan keusahawanan secara berstruktur dan lebih 3% daripada mereka telah melaksanakan aktiviti perniagaan dan keusahawanan secara aktif pada tahun 2016. 

 

Modul-modul telah disampaikan oleh tenaga pengajar berpengalaman serta pengamal keusahawanan yang diiktiraf kepakarannya daripada IPT tempatan dan antarabangsa antaranya, Innovation Academy University College Dublin, Ireland (IA-UCD), Malaysian Academy of SME and Entrepreneurship Development Universiti Teknologi MARA (MASMED-UiTM), Centre for Entrepreneurship and SMEs Development Universiti Kebangsaan Malaysia (CESMED-UKM), Malaysia Technology Development Corporation (MTDC) dan Othman Yeop Abdullah Graduate School of Business Universiti Utara Malaysia (OYAGSB-UUM). 

 

Hadir sama Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Prof Dr Hassan Ali; Timbalan Naib Canselor Hal-Ehwal Jaringan Industri & Masyarakat UKM, Prof. Dato' Dr. Imran Ho Abdullah, Prof Suzi Jarvis, Director Innovation Academy, University College Dublin, Ireland, pegawai-pegawai KPT dan pegawai-pegawai UUM.

 

 

Tags: terkini