2 PELAJAR CAS MENYERTAI SPRING SCHOOL PROGRAMME JEPUN

on . Posted in Pendidikan

Oleh : Pusat Pembangunan Pelajar & Alumni CAS

2 PELAJAR CAS MENYERTAI SPRING SCHOOL PROGRAMME JEPUN

JEPUN - 2 orang pelajar daripada Pusat Pengajian Sains Quantitatif (SQS) dan Pusat Pengajian Pengkomputeran (SOC), College of Arts and Sciences (CAS) telah menyertai sebuah program iaitu Spring School Programme: Walking Along The Path Of Japan’s Modern History, Culture &  Heritage, And Contemporary Society yang telah berlangsung di Jepun.

Program yang berjalan selama 11 hari ini telah bermula pada 13/3/2017 hingga 23/3/2017.

Program ini bertujuan untuk menawarkan peluang yang unik kepada pelajar-pelajar ASEAN bagi mengkaji dan memberi pendedahan kepada mereka tentang kemodenan, sejarah, budaya dan warisan serta pembangunan masyarakat Jepun khususnya melalui pengembangan syarikat dan industri di negara empat musim ini.

Program ini telah dianjurkan oleh Japan’s Ministry of Education, Culture, Sports, Science and Technology (MEXT) dan Japan Services of Education(JASSO) dengan kerjasama Chiba University dan juga ASEAN University Network (AUN).

Program ini turut disertai oleh 30 delegasi lain yang terdiri daripada pelajar-pelajar dari negara-negara ASEAN seperti Cambodia, Indonesia, Laos, Malaysia, Philippines, Singapore and Thailand.

Antara lokasi lawatan dalam program ini adalah Chiba, Tamachi, Onarimon, Yokohama, Tokyo, Gotemba, Izu Peninsula, Kamakura and Yokosuka.

Di samping itu, program ini telah dibangunkan dengan menggunakan pelbagai komponen pebelajaran termasuklah kuliah, kumpulan seminar, refleksi kendiri, refleksi kumpulan dan pembelajaran jurnal.

Pelajar dari Universiti Utara Malaysia yang terlibat adalah Nur Amelia binti Mohd Kamal, pelajar Ijazah Sarjana Muda Sains Pemutusan dan Nur Natasha binti Abdul Aziz, pelajar Ijazah Sarjana Muda Sains dan Teknologi Maklumat.

Menurut Nur Amelia, program ini telah banyak memberi pengetahuan dan pengalaman baharu kepadanya terutama dalam menyesuaikan diri serta menerima perbezaan budaya di negara matahari terbit itu.

Menurutnya lagi, program ini telah memberi banyak pengalaman baharu kepadanya terutama sekali dalam melihat bagaimana masyarakat jepun sangat berdisiplin dalam menepati masa serta adab dan tingkah laku mereka yang sangat bagus.

Tidak hairanlah jika Jepun dikatakan sebuah negara yang maju disebabkan masyarakatnya yang sangat berdisiplin kerana beliau sendiri telah merasainya ketika mengikuti program ini.

Di samping itu, Nur Amelia juga berkata program ini sangat memberi banyak manfaat kepadanya dan rakannya serta kepada negara. “Saya perlu menjadi contoh yang terbaik dan pemimpin kepada generasi masa hadapan”, katanya lagi.

 

Tags: terkini